Saturday, December 24, 2011

Uwais Al-Qarni - anak soleh yang taat dan kasih pada ibunya.


Uwais Al-Qarni, merupakan seorang insan yang juga umat Nabi S.A.W. Lihatlah hamba Allah yang diredhi Allah tetapi dialah pengemis hina mencari dan menagih keredhoan Ilahi. Dialah pengemis hina di dunia tetapi disisi Allah dialah insan mulia bernama Uwais Al-Qarni.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."

Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”


Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."

Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.

Wallahua’lam.

Thursday, September 29, 2011

Kisah Cinta Nabi Yusuf & Siti Zulaikha


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Alhamdullilah, ana baru sahaja mengaji Al-Quran, surah Yusuf.. tertarik tentang kisah Nabi Yusuf bersama Siti Zulaikha membuatkan ana ingin menghayati kisah mereka.. apakah disebalik kisah mereka..

Menghayati kisah Nabi Yusuf alaihissalam dan Siti Zulaikha membawa kita ke dunia cinta indah penuh keajaiban. Kisah cinta yang bermula dengan keinginan nafsu akhirnya membawa ketulusan jiwa. Andai ingin merasa cinta, setiap insan pasti mahu menikmati cinta seperti Zulaikha, biar derita dan sengsara menanggung rindu dan kesalan yang membelenggu, Zulaikha gapai juga kasih Tuhan yang Maha Luas.

Tapi itu kisah yang tertulis dan dibicarakan bukan terkalam Tuhan dalam kitabullah. Punya masa terluang, selidikilah kisah indah ini dalam Surah Yusuf. Sungguh, Zulaikha hanya gambaran seorang wanita bangsawan yang memerangkap Yusuf dalam fitnah. Akhirnya membawa Yusuf kepada hukuman. Zulaikha hanyalah wanita yang mengharap cinta kerana terpesona pada indahnya wajah dan fizikal Yusuf. Maha Suci Allah yang mencipta makhluk seindah Yusuf, pasti tiada wanita yang sanggup menahan diri untuk mendekatinya.

Itulah kisahnya, barangkali besar hikmahnya Yusuf terpenjara. Besar lagi hikmahnya Tuhan menciptakan lelaki seindah Yusuf. Apa yang pasti Tuhan itu memiliki hikmah yang besar, yang tak tersingkap oleh kita hambanya yang serba kekurangan.

Maka apakah cinta Zulaikha itu suci, jika hanya dari al-Quran, kita mengerti betapa keinginan Zulaikah itu tidak kesampaian, bahkan menghantar kekasihnya ke penjara, namun dari kisah-kisah yang terlakar, Zulaikha bukan saja akhirnya berjaya memeluk indah kasih Yusuf, malah menggapai ketinggian cinta Ilahi.

Namun, ana memilih kisah yang dikhabarkan Allah tanpa ada tokok tambahnya, tapi itu bukan bermakna Zulaikha wanita yang rendah harga diri dan tiada maruah, sebaliknya Zulaikha adalah golongan bangsawan yang tinggi darjat dan mulia kedudukannya. Barangkali Tuhan meminta kita menerima pengajaran betapa ketinggian dan kemulian sama sekali tidak menjauhkan kita dari godaan nafsu dan bisikan syaitan kerana manusia itu serba kekurangan dan hanya Allah yang Maha Sempurna dan Lengkap.

Itulah kita makhluk dan hamba yang hina. Dosa dan kesalahan akan membawa kita kepada satu pelajaran. Ya, Allah itu Maha Penyayang setelah diberikan kelemahan pada hambanya hingga begitu mudah menjerumuskan diri dalam lembah kemaksiatan, Dia ajarkan pula jalan-jalan menuju pintu taubat, yang bisa mengangkat lagi martabat kita juga meningkatkan tingkat iman dan jua takwa.

Ana pasti, itulah antara hikmah Tuhan mencipta dosa, memberi peringatan kepada manusia kita ini makhluk yang serba tidak sempurna, hina dan rendah sekali martabatnya. Dan sungguh Allah itu Maha Berkuasa tiada cacat cela dan zat yang begitu sempurna. Maha Suci Engkau Ya Allah yang mengajarkan manusia erti cinta, terjerumaus di dalamnya dan bangkit menggapai cinta lebih bermakna.

Allahua'lam..


_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://e.exps.me

Sunday, September 25, 2011

Family Saya & Kisah Seorang Mualaf dan Ibunya

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

post kali ni ana nak sentuh cerita tentang seorang mualaf..oh ya, mesti ramai yang belum tahu kan.. untuk pengetahuan, ana ni berdarah campuran. ibu ana berketurunan cina.. tapi ibu ana bukanlah mualaf kerana sejak dilahirkan, ibu ana telah diislamkan oleh datuk dan nenek ana (ibu dan bapa angkat ibu ana). tapi, adik beradik ibu a.k.a untie-untie ana masih beragama budha.. bukan senang kan nak tarik orang masuk agama Islam yang sememangnya benar ni.. tiada yang benar selain agama islam.. di sini ana nak kongsikan la beberapa gambar untie-untie ana ketika mereka berkunjung ke rumah pada hari raya tahun lepas..


yang kiri dan kanan sekali tu untie-untie ana.. nama yang ana tahu yang sebelah kiri sekali tu je, nama dia Untie Ee Yuk Ooi. yang couple tengah tu nenek n atok saudara ana.. mak ana merupakan anak bongsu dari 5 beradik.. abang sulung ibu ana a.k.a uncle ana dah meninggal sebab barah otak beberapa tahun lepas. semua family cina belah ibu ana masih beragama budha lagi.. semoga Allah SWT memberikan mereka nur dan hidayah Nya agar mereka memeluk agama islam.. insyaAllah..

sebenarnya ibu ana dah terpisah lama dengan family kandungnya (cina)..sejak dilahirkan lagi, nenek kandung ana telah serahkan ibu ana ke nenek angkat islam.. adalah kisah disebalik tu.. kalau nak ana ceritakan, sampai esok pon belum tentu habis.. hehe.. sejak ibu ana lahir, mereka terpisah... dan tahun 2003 baru mak ana cari family kandungnya dan jumpa, siap buat iklan kat paper cina lagi tau..huhu.. masa tu umur mak ana dah 48 tahun..bayangkan la berapa lama mereka dah terpisah...



KISAH SEORANG MUALAF DAN IBUNYA

Ia adalah kisah tentang seorang lelaki bernama Muhammad Abdullah atau Smith yang telah convert ke Islam daripada Kristian. Cerita ini disampaikan oleh Mohamad A Joban , Imam di Masjid Ar-Rahmah di Washington, USA.

Smith berasal dari Chicago, dan berpindah ke Olympia lebih kurang 17 tahun yang lalu. Dia selalu memakai kopiah putih sejak menjadi seorang Muslim.


Pada tahun 1996 , ibunya telah jatuh sakit di Chicago. Ketika dia tiba di rumah ibunya, ia membuka pintu dan ibunya berkata,

Si Ibu:Adakah kau ialah Smith?

Smith@muhammad Abdullah: Tidak ibu, Nama saya sekarang adalah Muhammad Abdullah.

Ibu :Adakah kau Muslim?

Smith@muhammad Abdullah:Ya


Ibunya menjadi sangat marah , dan menanyakan mengapa dia mengikuti agama pengganas, kekerasan, dll. Ibunya turut mengatakan macam-macam tentang betapa buruknya agama Islam. Muhammad Abdullah memahami bahawa ibunya telah dicuci otak oleh media.


Jadi, selama dia tinggal bersama... selama dua minggu, dia tidak pernah berbicara tentang Islam. Dia hanya menunjukkan dia Islam melalui tindakannya. Dia memasak, membersihkan rumah, membawa ubat-ubatan, dan menemani ibunya sebelum dia pergi tidur. Ringkasannya, dia memberikan layanan yang baik dan mengambil berat, dengan kebaikan. Ketika tiba waktunya untuk berdoa, dia meminta izin dan berdoa di sisi ibunya.

Ibu: Smith, datang ke sini .....Tahukah kau bahawa ketika kau masih kecil, ayahmu sering membawa kau ke gereja? Tetapi gereja tidak pernah berubah gaya hidup kau. Bila kau menjadi seorang remaja, kau pulang ke rumah dalam keadaan mabuk , dan memanggil nama ibu dengan kurang ajar. Tapi sekarang kau benar-benar berubah. Kau sanggup terbang dari Olympia datang ke sini, melintasi ribuan kilometer, sementara kakak dan abang kau, yang tinggal di bandar ini, hanya menghantar bunga pada ibu dan menghubungi ibu melalui telefon. Selain itu, kau juga selalu membuat ibu senang selama dua minggu ini.



Smith@Muhammad Abdullah: Ibu, ini adalah Islam. Adakah ibu tahu bahawa setelah Allah SWT meminta saya untuk menyembah Dia, Dia juga memerintahkan saya untuk bersikap baik kepada ibu?

(17:23). Dan Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa jika saya menyenangkan
Allah, dan saya tidak menyenangkan ibu, saya tidak akan boleh masuk syurga. Pesuruh
Allah, Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa syurga berada di bawah kaki ibumu.

Ibu: Smith! Apa yang harus ibu lakukan jika ibu ingin menjadi seperti kau?

Smith@Muhammad Abdullah :Adakah ibu yakin? ibu kata sebelum ini bahawa ini adalah agama pengganas.

Ibu: Ya, ibu yakin, kerana itu mengubah hidup kau. Ini mengubah keperibadian kau dan perilaku kau.


Ibunya meninggal 3 tahun selepas itu dan Muhammad Abdullah @ Smith juga telah meninggal dunia pada 12 Mac 2008 .Ibunya menjadi seorang muslimah kerana perbuatan baik dan perilaku anaknya.

Semoga Allah menempatkan mereka bersama-sama sekarang di tempat yang indah, amin.

Allahu'alam...




_________________________
I have added cool emoticons to this message.
To see them go to http://x.exps.me?f9e4762e9a6cfa3f48b7dae82a3475bd

Friday, September 23, 2011

Nikah Khitbah Tiket untuk ber'couple'


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

ana nak berkongsi sikit artikel tentang nikah khitbah atau lebih dikenali dengan nikah gantung ni...al maklumlah, sejak-sejak hati dicuri orang ni, asyik fikir hal nikah je.. hehe..harap mak dan ayah serta orang disana baca la post ni.. tapi rasanya memang tak la kan diorang nak baca..huhu..

hari ini, ramai sangat couple kat luar sana tu yang suka-suka je keluar berdating hingga melanggar segala hukum-hukum syarak. bukan setakat berpegang tangan sahaja, malah ramai juga yang dah terlanjur hingga ke kancah penzinaan... nauzubillah hi minzalik... semoga Allah s.w.t memberikan hidayah-Nya buat mereka yang telah lari jauh dari garis panduan dan syariat-syariat islam.. dan semoga ana juga istiqomah dengan perjuangan ana dalam penghijrahan diri untuk menjadi wanita solehah..insyaAllah...

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :
dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui . An Nuur : Ayat 32

Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :
* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
* Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
* Merendahkan hantaran perkahwinan

Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
* Suami
* Isteri
* Wali
* Saksi
* Aqad [ Ijab Qabul ]

cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :
* Masih menuntut di kolej atau uniersiti
* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

Allahu'alam..


Thursday, September 15, 2011

Teguran Rasulluah kepada sahabat yang ketawa


Suatu ketika Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan untuk menunaikan solah lalu Baginda s.a.w. ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah sehingga menampakkan gigi. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sekiranya kamu banyak mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini."

Oleh tiu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlaku tanpa kubur berkata, "Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat."

Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata, "Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku."Selepas itu, kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara berterusan.

Apabila orang yang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata, "Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi engkaulah yang paling aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layan daripadaku."
Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian 70 ekor ular akan menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga ke hari kiamat.

Selepas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, " Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga atau pun satu lembah daripada lembah-lembah neraka." (Misykat)

TAKUTKAN ALLAH s.w.t. ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. sering duduk merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting dan memberi manfaat.

Monday, September 12, 2011

Allah menutup aib hambaNya


Sebagai makhluk yang bersifat lemah dan serba kekurangan, setiap orang ada perkara rahsia yang tidak ingin diketahui oleh orang lain. Mungkin yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada kawan rapatnya.
Kita perlu ingat, diriwayatkan pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang, orang itu akan berasa malu yang amat sangat hingga luruh daging-daging di muka.

Pada waktu itu, tidak ada lagi tempat hendak bersembunyi. Malah, lidah menjadi kelu. Tidak boleh lagi menafikan kesalahan dan aib yang kita lakukan itu. Sebaliknya seluruh anggota akan menjadi saksi, mengaku dan mendedahkan segala-galanya.

Jadi, sementara masih hidup ini, kita masih boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dahsyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah.

Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain, kerana orang yang menutup aib orang lain Allah akan tutup pula aibnya di akhirat kelak. Jangan menceritakan keburukan kawan kita kepada orang lain. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan kepada orang lain, begitu jugalah kawan atau saudara mara kita. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka dicerikan merata-rata.

Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan mereka, tapi dedahkan kebaikan dan amal kebajikannya. Bukan sahaja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang lain, kita juga tidak boleh mendedahkan kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan sebegitu juga dikira berdosa. Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita segera bertaubat. Tetapi, kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga?

Selain daripada kita mesti merahsiakan aib kawan-kawan atau orang lain, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau sudah diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.

Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan satu daripada tiga sifat
munafik iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Semoga kita sentiasa dipeliharakan oleh Allah daripada melakukan sifat-sifat keji dan tercela itu, lebih-lebih di bulan ramadhan yang mulia ini.

Sunday, September 11, 2011

disebalik ungkapan 'InsyaAllah'

assalamualaikum w.b.t..

acap kali kita ungkapkan kalimah 'insyaAllah' bila berbicara.. tapi, sedarkah kita erti sebenar di sebalik kalimah itu? adakah kalimah itu hanya kalimah kosong semata-mata?? adakah kalimah itu dijadikan batu loncatan untuk melarikan diri dari sesuatu janji sesama manusia???

" InsyaAllah" itu menunjukkan kesungguhan kita berpegang pada janji, kepastian dan keyakinan kita untuk menunaikan janji. bukan janji yang penuh keraguan atau janji kosong. akuu silap. bagi aku " InsyaAllah " itu bermakna aku tak menepati janji pun tak apa. aku tak merealisasikan apa yang dijanjikan pun tak berdosa. sebab aku dah ucapkan " InsyaAllah"

seres, dulu kalau orang cakap " InsyaAllah " aku dah dapat agak apa itu kesudahan cerita. memang sah-sah la dia takkan datang, takkan tunaikan janjinya. itu persepsi aku. maksudnya perkataan " InsyaAllah" adalah satu perkataan untuk melepaskan diri atau mengelakkan diri dari sesuatu. almaklumlah kadang kala kita ni segan nak menolak sesuatu jemputan kan! paksa la cakap " InsyaAllah".

apabila kita melafazkan " InsyaAllah " maknanya kita berjanji berusaha memenuhi dan menunaikan janji yang kita buat. Andainya kita ada halangan contoh uzur untuk menunaikannya itu adalah kekuasaan Allah. Sebab kita hanya manusia biasa yang tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan.

" Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' InsyaAllah ' . Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini ' . "

Sesungguhnya setiap perbuatan kita adalah milik Allah SWT. Dan "InsyaAllah" bukan bicara kosong. Tapi doa supaya apa yang kita janji itu kita akan dapat tunaikan dengan izin Allah SWT.

Allahu'alam...